Hamzah mula bahas sebagai Ketua Pembangkang petang ini
DATUK Seri Hamzah Zainudin buat pertama kalinya akan membahaskan usul titah diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, di Dewan Rakyat, hari ini sebagai Ketua Pembangkang.
Ahli Parlimen Larut yang juga Setiausaha Agung Bersatu itu, dijangka akan membahaskan titah berkenaan pada sesi petang Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
“Insya-Allah, saya akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul titah diraja pada sebelah petang. Giliran saya dijangka sekitar jam 2:30 petang.
“Ikuti perbahasan saya sebagai Ketua Pembangkang yang bakal disiarkan secara langsung melalui Facebook Live,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada 2 Februari lalu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen PN yang akan menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang di Parlimen.
Selain Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai portfolio Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim manakala Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin mengetuai Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Seorang lagi Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee pula diberi tugas berkaitan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. – Malaysiapost