Hamzah suruh PM, menteri kerajaan perpaduan kurangkan bercakap

Hamzah suruh PM, menteri kerajaan perpaduan kurangkan bercakap

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan kerajaan perpaduan supaya kurangkan bercakap.

Sebaliknya, Hamzah menyarankan Jemaah Menteri yang menerajui pemerintahan tidak sampai 100 hari itu, agar lebih banyakkan berkerja.

“Saya sedar kerajaan pimpinan YAB Tambun belum sampai 100 hari memerintah tetapi sudah banyak persoalan ditimbulkan rakyat.

“Satu demi satu kelemahan,ketidakcekapan serta pencabulan kuasa muncul, yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

“Kurangkanlah bercakap, buat kerja dan ‘deliver’ hasil kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, bercakap banyak boleh mengundang kealpaan sehingga terlupa apa yang pernah diperkatakan sebelum ini.

“Bila kita banyak sangat bercakap ini, kadang kala kita lupa yang sebenarnya kita sedang menepuk air di dulang. Percikannya terkena muka sendiri.

“Kadang-kadang kita lupa akan apa yang telah kita cakapkan. Jangan sehingga ada orang labelkan kita sebagai kumpulan amnesia,” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu turut mengimbas ucapan Anwar ketika kempen PRU15 lalu yang menyentuh semua masalah akan selesai jika beliau berjaya menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.

“Begitu juga dalam isu kos sara hidup. Isu bekalan telur sebagai contoh, sehingga kini belum selesai walaupun kerajaan telah mengimport telur dari India yang harganya lebih mahal dari harga telur tempatan, dan saiznya juga lebih kecil daripada telur tempatan.

“Semasa berkempen dalam PRU15 lalu, bukan main berdegar-degar YAB Tambun dan beberapa menteri kerajaan hari ini bercakap, kononnya kalau mereka ambil alih kerajaan, semua masalah selesai,” katanya.

Hakikatnya, kata Hamzah, bukan sahaja masalah telur tidak selesai, malah kini harga sayur pula melonjak sehingga 160 peratus.

“Bila bekalan telur tak cukup, ada timbalan menteri boleh kata “tidak boleh paksa ayam bertelur”. Bila harga ayam mahal, menteri kata “by right kena kurangkan makan ayam”.

“Sekarang ini menteri kata kekurangan pekerja pula punca bekalan telur ayam terganggu,” katanya. – Malaysiapost

Komen