Hutang negara kini RM1.5 trilion – PM
LIABILITI dan hutang negara kini telah mencecah RM1.5 trilion iaitu 82 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, hutang Kerajaan Persekutuan sudah mencecah sebanyak 60.4 peratus iaitu termasuk khidmat hutang yang dibayar 2022 sebanyak RM41 bilion (14 peratus) dan RM46 bilion pada 2023 (16 peratus).
“Ini adalah bermakna bayaran khidmat hutang ini banyak dan kita hanya membayar faedah hutang bukan bayar hutang tertunggak,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh yang meminta menyatakan kedudukan hutang negara terkini dan apakah punca kenaikan hutang negara setiap tahun.
Kah Woh juga meminta Perdana Menteri untuk menyatakan usaha-usaha kerajaan dalam menyelesaikan hutang negara yang semakin meningkat.
Anwar menjelaskan antara langkah utama yang diambil adalah memperbaiki tata kelola kerajaan kerana antara perbelanjaan berbilion ringgit yang hilang adalah kerana pengurusan yang lemah, ketirisan dan menyebabkan hutang lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara.
“Lain-lain langkah adalah untuk memastikan asas hasil ditambah dan mengkaji semula kaedah perbelanjaan awam tanpa membebankan rakyat terutama dalam bidang pendidikan, kesihatan dan prasarana asas.
“Hal-hal ini boleh kita cerakin dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini,” katanya. – Malaysiapost