Ismail Sabri terharu terima penghargaan Agong atas kejayaan kerajaan Keluarga Malaysia

Ismail Sabri terharu terima penghargaan Agong atas kejayaan kerajaan Keluarga Malaysia

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa terharu terhadap titah penghargaan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Bera itu terharu dengan titah penghargaan kepada kerja keras kerajaan Keluarga Malaysia pimpinannya sebelum ini, hingga negara muncul menjadi yang terbaik di Asia Tenggara kini.

“Negara yang bernaung dibawah kebijaksanaan Tuanku ini akan terus menapak gagah di tangga-tangga kejayaan andai dipimpin oleh tangan yang cintakan kejayaan, serta memelihara perlembagaan dengan penuh ketekunan dan juga integriti.

“Daulat Tuanku, Patik sentiasa doakan rahmat dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada payung rakyat yang menjadi kebanggaan Keluarga Malaysia, dulu kini dan selamanya,” dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno, berkata kejayaan yang dicapai bukanlah datang dari hasil usahanya sendirian, sebaliknya melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

“Kejayaan hari ini, tidak datang dengan mudah seperti yang dibayangkan.

“Ia adalah berkat kerja keras, muafakat dan keyakinan setiap jabatan dan institusi, serta ketekunan setiap Keluarga Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini sejak bangkit dengan gahnya dari pandemik Covid-19,” katanya.

Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, semalam dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam titah diraja, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan kepada semua Ahli Parlimen supaya menumpukan usaha dalam memastikan kestabilan yang diimpikan semua dapat dicapai sepenuhnya. – Malaysiapost

Komen