Kerajaan BN banyak skandal kewangan, PN juga banyak ketirisan

Kerajaan BN banyak skandal kewangan, PN juga banyak ketirisan

KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertekad untuk melakukan segala usaha bagi mengelak dan menghalang khianat dalam pentadbirannya dari segi rasuah yang berleluasa.

Ahli Parlimen Tambun itu turut mengakui pelbagai skandal kewangan di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini terutama skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), antara punca menyebabkan hutang negara semakin meningkat.

Beliau bagaimanapun, memaklumkan terdapat juga ketirisan berlaku dalam pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Ada kebenaran yang dinyatakan bahawa semasa kerajaan BN dulu ada ketirisan seperti kes 1MDB, tetapi dalam pemerintahan PN banyak juga.

“Ini termasuklah perbelanjaan Jana Wibawa, projek tebatan banjir dan beberapa ketirisan lain yang sedang dalam siasatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, siasatan kes membabitkan PN itu adalah urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan penguatkuasa lain.

“Sama ada akan didakwa atau tindakan lain, itu urusan Peguam Negara. Mungkin dalam masa terdekat ada berita baik (pendakwaan) untuk rakyat,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) ketika sesi Pertanyaan Menteri, hari ini.

Radzi bertanya sama ada Perdana Menteri bersetuju bahawa beban hutang ditanggung negara antaranya berpunca daripada hutang yang tidak produktif susulan pelbagai skandal kewangan yang berlaku di zaman kerajaan BN.

Sementara itu, Radzi turut bertanya adakah Anwar setuju bahawa tindakan memegang jawatan Menteri Kewangan pada masa sama memegang jawatan Perdana Menteri membuka ruang kearah terjadinya skandal kewangan yang terjadi sebelum ini.

“Soal sama ada kedudukan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu menjadi masalah. Saya nak sebut dalam sejarah sama ada digabungkan atau tidak bukan masalah.

“Masalahnya ialah guna kedudukan untuk rompak harta rakyat dan ini terpakai di banyak kalangan. Yang bersih sama ada sebelah sini (kerajaan) atau sebelah sana (pembangkang) jangan bimbang.

“Tetapi yang terpalit dengan rasuah itu harus merasa tertekan dan bimbang,” katanya. – Malaysiapost

Komen