Kerajaan tak cadang hapus hutang PTPTN golongan miskin, B40 – Khaled

Kerajaan tak cadang hapus hutang PTPTN golongan miskin, B40 – Khaled

KERAJAAN belum mempunyai perancangan untuk memansuhkan pinjaman hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cadangan pemansuhan pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 sebelum ini akan melibatkan 1.84 juta peminjam.

Katanya, ia akan melibatkan jumlah pemansuhan sebanyak RM42.34 bilion.

“Saya maklumkan semua parti telah menjadi kerajaan dan tiada satu pun yang telah mansuhkan pinjaman PTPTN.

“PTPTN hanya jadi modal politik dan kerana itu saya menyeru agar berhenti mempolitikkannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu beliau menjawab isu tersebut pada sesi Waktu Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai bila Program Pemansuhan Hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan mula diperkenalkan dan jumlah penerima manfaat. – Malaysiapost

Komen