Kerjasama Anwar, Ismail Sabri mampu bawa Malaysia lebih cemerlang

Kerjasama Anwar, Ismail Sabri mampu bawa Malaysia lebih cemerlang

Prof Azmi Hassan

Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan betapa komitednya beliau dalam memastikan pembangunan negara.

Pembangunan demi membentuk ketamadunan negara yang bakal mengubah letak duduk Malaysia di persada dunia.

Tidak sampai sebulan gagasan ini direncana, sudah banyak kemajuan signifikan yang telah kita perolehi.

Daripada keperluan asas rakyat melalui pengenalan Menu Rahmah sehingga kerjasama ekonomi serantau yang berjaya dijalinkan.

Semuanya atas tujuan memperkasa kebajikan rakyat dan dalam masa yang sama meningkatkan kemajuan negara.

Saya percaya, berkat kerjasama kepimpinan Kerajaan Perpaduan ini ditambah dengan persona hebat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memungkinkan segala yang mustahil.

Saya melihat konsistensi kemajuan pentadbiran ini juga bermula dengan Perdana Menteri terdahulu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri.

Mana tidaknya, beliau mentadbir negara di dalam tempoh yang sukar. Krisis kesihatan dan ekonomi yang berlaku dalam negara ketika itu, berjaya beliau tangani dengan kesungguhan dan iltizam yang menyeluruh.

Tahun 2022, telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh 22 tahun.

Hasil rangsangan ekonomi yang berkesan semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri telah berjaya memastikan perkembangan cemerlang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memuncak sehingga 14.2 peratus, yang merupakan perkembangan terbaik di Asia Tenggara.

Malah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam tempoh sembilan bulan pentadbiran beliau telah merekodkan sehingga RM74.1 bilion, sekaligus mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 dan 2018.

Kejayaan itu secara langsung telah berjaya memaknakan kembali kehidupan rakyat yang sebelum ini berdepan tempoh sukar.

Bekas tertarung lagi terkenang, apa pula hubungan nyawa, itulah bidalan paling tepat menggambarkan betapa jasa baik dan sumbangan Datuk Seri Ismail Sabri tidak dapat dilupakan.

Berdasarkan ketokohan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri, saya percaya membentuk sinergi dengan Perdana Menteri adalah tindakan yang matang.

Malah jejak rekod yang beliau tinggalkan telah terbukti berjaya membawa negara keluar dari keadaan yang sukar.

Saya lihat setiap Perdana Menteri ini ada kekuatan dan potensi yang tersendiri. Jika digabungjalinkan keduanya pasti akan membawa Malaysia Madani ke persada yang lebih tinggi, terutamanya dalam mengukuhkan ekonomi negara.

Syor kerjasama di antara dua tokoh politik ini adalah tindakan yang tepat selari dengan idea memperkasa kearifan tempatan di dalam gagasan Malaysia Madani.

Bermula dengan peringkat kepimpinan tertinggi yang melibatkan kerjasama kepimpinan dahulu dan sekarang, perkara ini pasti akan membuka lebih banyak lembaran perkongsian kearifan tempatan.

Hakikatnya, pemimpin itu adalah cerminan rakyat. Pemimpin yang berusaha menawarkan kehidupan yang lebih baik buat rakyat, pasti akan mendapat dokongan padu dari segenap rakyat.

Demi Malaysia Madani yang lebih cemerlang, saya syorkan Datuk Seri Ismail Sabri bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penulis adalah penganalisis politik

(Artikel ini disiar tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

Komen