Kerosakan institusi kehakiman negara tinggalan Tun M – Shahrir Samad
VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Samad mendakwa institusi kehakiman negara telah mula berkrisis sejak Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri buat kali pertama lagi.
Menurutnya, keadaan itu berulang apabila bekas Ahli Parlimen Langkawi itu kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada 2018.
“Apa dah jadi dengan negara kita? Institusi kehakiman negara telah mula berkrisis apabila Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali pertama.
“Kontroversi pemecatan Tun Salleh Abas (bekas Ketua Hakim Negara) diikuti pula dengan kontroversi Datuk VK Lingam (peguam),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, apabila Dr Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri, bersama dengan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara ketika itu, pelantikan Ketua Hakim Negara berlaku tanpa patuh Akta Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC).
“Sekarang Mahkamah Persekutuan tidak berani memutuskan bahawa hakim-hakim tidak boleh disiasat oleh badan-badan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya merujuk beberapa laporan media mengenai perkara itu.
Shahrir berkata, Dr Mahathir kini sudah lama tidak lagi menjadi Perdana Menteri, namun kerosakan institusi kehakiman negara menjadi peninggalannya. – Malaysiapost