Kestabilan tak dicapai jika pemimpin kerajaan ada sifat dendam – Hamzah

Kestabilan tak dicapai jika pemimpin kerajaan ada sifat dendam – Hamzah

HASRAT murni Yang di-Pertuan Agong untuk melihat Malaysia menjadi negara yang stabil, adalah sesuatu yang harus diambil kira semua pihak – bukan sekadar hanya di pihak pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan sama, selaras hasrat baginda bahawa hanya dengan permuafakatan antara kerajaan dan pembangkang, barulah hasrat untuk melahirkan negara yang stabil akan tercapai.

“Caranya hanyalah dengan mempercayai sesama kita.

“Mustahil ia boleh berlaku jika masih ada pemimpin mempunyai dendam antara satu sama lain, terutama apabila mereka memimpin kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut membacakan serangkap pantun:
Air dalam bertambah dalam,
Hujan dahulu belumlah teduh,
Hati dendam bertambah dendam,
Dendam dahulu belumlah sembuh.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, Perikatan Nasional (PN) sememangnya mahu negara sentiasa stabil.

Susulan itu, katanya, PN telah memberi aku janji kepada rakyat akan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab, kredibel, berwibawa, efektif serta berintegriti tinggi.

“Teguran kami bukan bermaksud untuk menganggu-gugat kerajaan tetapi demi memastikan negara ini ditadbir dengan betul.

“Kritikan kami bukan disebabkan perbezaan politik tetapi dibuat atas kesedaran kepentingan ummah. Jika ada yang baik daripada kerajaan, insya-Allah kami akan sokong,” katanya. – Malaysiapost

Komen