Kilang haram proses sisa elektronik diserbu
SEBUAH kilang memproses sisa elektronik (e-waste) yang pernah diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang pada 25 Januari lalu, diserbu kali kedua hari ini kerana terus beroperasi.
Kilang terletak di kawasan perindustrian Gebeng, dekat Kuantan itu diserbu dalam operasi bersepadu diselaraskan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah.
Operasi disertai kira-kira 30 pegawai dan anggota JAS, polis, kastam, bomba dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, jam 11 pagi tadi.
Kilang terbabit didapati menjalankan aktiviti peleraian e-waste yang dikategorikan bahan buangan terjadual mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Penjaga kilang itu pada mulanya enggan membuka kunci pagar utama kilang berkenaan hingga memaksa pihak berkuasa memotong kunci sebelum dia akur dan memberikan kerjasama.
Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, kilang itu dipercayai mula beroperasi awal tahun ini dan mengakibatkan pencemaran udara di kawasan berkenaan.
“Mereka membakar e-waste yang dipercayai dibawa masuk secara haram untuk mendapatkan bahan aluminium sebelum diproses menjadi jongkong.
“Kilang ini dikatakan beroperasi 24 jam dan kegiatan membakar e-waste lebih aktif pada waktu malam,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu selesai.
Pemeriksaan juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen daripada JAS mengikut Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan turut didapati beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Difahamkan pihak JAS Pahang sudah menyita lebih 600 guni mengandungi e-waste ketika operasi 25 Januari lalu, namun ketika pemeriksaan hari ini, semua pita sitaan diletakkan pada guni itu sudah ditanggalkan pekerja kilang terbabit.
Andansura bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti e-waste itu datang dari negara mana.
“Saya dimaklumkan ia dibawa dari Pelabuhan Klang ke sini, cuma saya tiada maklumat dari negara mana dan taktik apa digunakan mereka hingga sisa berkenaan boleh sampai ke Pahang,” katanya lagi.
Unit Bahan Bahaya (Hazmat) Bomba Pahang yang turut serta dalam operasi itu memaklumkan pencemaran asap akibat pembakaran e-waste oleh kilang terbabit berada di tahap risiko rendah tapi berbahaya.
Semua pekerja kilang itu juga ‘lesap’ ketika pemeriksaan lanjut dijalankan di premis itu.
Hanya penjaga premis dan pemandu jentera ringan sahaja, keduanya warga tempatan, berada di kilang itu sepanjang operasi dijalankan.
Dalam pada itu, kebanyakan guni mengandungi sisa elektronik ditemui di kilang itu dilabel sebagai ‘Peanuts’ dan ‘Walnuts’ dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa di pelabuhan.
Setiap guni dianggarkan mengandungi e-waste antara 800 kilogram hingga 1,000 kilogram.
Andansura berkata, pihak JAS Pahang akan menggunakan kuasa mereka mengikut Akta Alam Sekitar untuk menutup terus kilang berkenaan.
Katanya, tindakan pendakwaan terhadap pemilik kilang itu juga akan dilakukan bagi memastikan kilang terbabit tidak lagi beroperasi. – Malaysiapost


