Malaysia hantar pasukan peninjau ke Syria

Malaysia hantar pasukan peninjau ke Syria

KERAJAAN Malaysia telah mengarahkan satu Pasukan Peninjau Khas ke Damsyik, Syria bagi mendapatkan gambaran dan membuat penilaian di lapangan mengenai bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan negara yang terjejas akibat gempa bumi kuat pada 6 Februari lalu.

Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui satu kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, hari ini memaklumkan pasukan khas berkenaan diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Dua Hala KLN.

Menurutnya, pasukan itu turut disertai wakil dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga wakil Persatuan Bulan Sabit Merah serta Mercy Malaysia.

“Lawatan Pasukan Peninjau Khas ini amat penting bagi mendapatkan gambaran dan membuat penilaian di lapangan mengenai bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan.

“Pasukan ini juga akan membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa Syria dalam menilai laluan yang selamat untuk misi penghantaran bantuan ini,” menurut Wisma Putra.

Menurutnya Sekretariat bagi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria di bawah kendalian KLN turut mengadakan perbincangan bersama Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur semalam.

“Ia bagi mendapatkan butiran mengenai situasi sebenar di Syria, lokasi-lokasi yang terjejas teruk dan mengenalpasti keperluan asas yang kritikal yang amat diperlukan ketika ini,” katanya.

Menurut Wisma Putra, menerusi maklum balas yang diterima daripada Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur serta Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik, terdapat beberapa kerperluan asas kritikal dan amat diperlukan mangsa gempa bumi di Syria ketika ini.

“Bekalan makanan (pek makanan sedia dimakan, pek makanan ringan dan susu formula), bekalan ubat-ubatan; dan peralatan perubatan termasuk kit bantuan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyumbang kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria diminta membuatnya melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) yang diselia pihak KLN. – Malaysiapost

Komen