MITI komited perkasa ekosistem eksport industri seni negara – Tengku Zafrul
KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI menjemput pemain industri kreatif mengemukakan cadangan bagi memperkasa bidang berkenaan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perkara itu penting bagi membolehkan MITI memupuk industri seni ke dalam ekosistem eksport negara untuk meperluaskan pasaran.
“Saya juga telah menjemput industri kreatif untuk mengemukakan cadangan tentang bagaimana MITI boleh memupuk industri seni kita.
“Ini agar artis Malaysia dapat memanfaatkan sebuah ekosistem eksport bagi memperluaskan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa, InsyaAllah,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Tengku Zafrul merasmikan pameran solo kedua artis seni halus Malaysia yang terkenal di mata dunia, Anniketyni Madian, semalam.
Menurut Tengku Zafrul, artis yang berasal dari Sarawak itu telah menghasilkan 15 karya seni yang diilhamkan daripada hikayat tradisional Sarawak.
“Antara jenama bertaraf dunia yang pernah membeli hasil karya Anni sebelum ini termasuk UN di Rome, Google, Four Seasons KL, the One&Only dan WOLO KL.
“Kagum saya menatap karya Anni di dalam koleksi ini. Halus sungguh hasil tangan beliau, digabung dengan teknik dan kebolehan yang amat ketara dari segi memanipulasi medium pilihannya iaitu kayu,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, ketik ini tidak ramai artis seni halus negara yang aktif berkarya dengan medium kayu.
“Ia sekali gus memelihara tradisi Sarawak dengan menerapkan reka bentuk Pua Kumbu di dalam karyanya. Pastinya koleksi ini mampu berdiri megah jika dipamerkan di galeri-galeri antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost