Muhyiddin dijangka dipanggil SPRM dalam masa terdekat
PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan ke atas kewangan parti itu.
Memetik laporan New Straits Times, SPRM mengesahkan perkara itu yang mendedahkan bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat.
“Muhyiddin akan dipanggil bagi dirakam kenyataan mengenai dakwaan RM300 juta yang diterima parti terbabit sebagai dana politik daripada kontraktor yang dianugerahkan projek ketika pentadbirannya,” katanya.
Menurut SPRM, beberapa pemimpin Bersatu juga telah dipanggil untuk direkod kenyataan, termasuk bendahari parti terbabit.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan semua penyumbang kepada parti terbabit adalah kontraktor yang menerima kontrak kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin,” katanya.
Dilaporkan kontraktor terbabit dikenal pasti selepas SPRM menyiasat beberapa akaun milik Bersatu yang dibekukan hujung bulan lalu.
Bersatu sebelum ini dilaporkan menerima hingga RM300 juta daripada kontraktor berkenaan sebagai dana politik susulan persetujuan dibuat dengan beberapa pemimpin parti, termasuk mereka yang berkhidmat di bawah pentadbiran Muhyiddin ketika itu.
Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin Bersatu dan pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM untuk dirakamkan kenyataan.
Terdahulu di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan akan ada pemimpin semasa pentadbiran PN yang akan disiasat SPRM.
Menurutnya, ada banyak kerosakan yang dilakukan sewaktu pemerintahan terdahulu.
“Memang ada kebenaran semasa kerajaan Barisan Nasional, ada ketirisan dan kes terbabit seperti 1MDB. Tetapi masa pemerintahan PN, ada banyak kerosakan juga,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) isu ketirisan dalam kerajaan sebelum ini. -Malaysiapost