Proteo anjing penyelamat ‘paling berani di dunia’, mati dalam misi di Turkiye

Proteo anjing penyelamat ‘paling berani di dunia’, mati dalam misi di Turkiye

ORANG ramai di seluruh dunia meluahkan rasa hiba atas berita kematian seekor anjing penyelamat tentera yang digelar ‘Proteo’ yang tertimbus di bawah runtuhan gempa bumi di Turkiye.

Difahamkan, sebelum itu Proteo yang merupakan anjing pasukan SAR Mexico berjaya menyelamat dua mangsa daripada runtuhan bangunan di Turkiye.

Tidak lama selepas itu, Proteo yang digelar anjing ‘paling berani di dunia’ dihempap runtuhan bangunan dan disahkan mati oleh pasukan perubatan yang cuba menyelamatkannya.

Susulan kematian itu, Mexico semalam memberi penghormatan terakhir kepada anjing penyelamat tentera itu.

Menteri Pertahanannya, Luis Cresencio Sandoval mengumumkan kematian anjing Jerman yang dipanggil Proteo pada sidang akhbar harian Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

“Anggota Tentera dan Tentera Udara Mexico amat berdukacita dengan kehilangan sahabat hebat kami, Proteo.

“Dia telah memenuhi misinya sebagai anggota Delegasi Mexico dalam mencari dan menyelamat saudara-saudara kita di Turkiye,” tulis kenyataan tersebut.

Malah, pengguna media sosial memuji Proteo atas usahanya. Warga netizen seluruh dunia juga meminta butiran lanjut tentang keadaan kematian anjing penyelamat yang berani itu.

Terdahulu, gempa bumi yang melanda bermagnitud 7.8 dan 7.5 itu telah memusnahkan kedua-dua negara Turkiye dan Syria dalam kejadian awal minggu lalu.

Selain itu, angka kematian juga dilaporkan meningkat sehingga 33,185 mangsa. – Malaysiapost

Foto: Twitter

Komen