‘Ramai peniaga Melayu suka meminjam, tetapi payah bayar hutang’ – Tun M
RAMAI peniaga Melayu memulakan perniagaan dengan meminjam wang tetapi amat payah untuk membayar balik hutang berkenaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, keadaan itu sekali gus akan memberi kesan atau satu tanggapan buruk terhadap peniaga Melayu.
“Satu perkara lagi yang saya tekankan ialah berkenaan hutang. Ramai orang Melayu bila nak berniaga dia pinjam. Lepas pinjam cukup payah nak bayar balik hutang.
“Disebabkan itu pemberi pinjaman akan rasa tidak senang untuk beri hutang dan orang lain yang akan jadi mangsa.
“Inilah punca ramai peniaga lain cukup susah dapat kelulusan pinjaman kerana rekod buruk orang lain. Sebaliknya jika hutang dibayar, ia akan lebih mudah dapat bantuan tambahan kerana punyai rekod yang baik,” katanya menerusi Facebook.
Perkara itu dikongsi Dr Mahathir dalam Forum Usahawan Bumiputera, ‘Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera dan Cabaran Masa Hadapan di Putrajaya, minggu lalu.
Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, antara perkara lain yang turut disentuh dalam forum itu adalah kepentingan nilai seperti berdisiplin, konsisten dalam apa juga perusahaan yang dijalankan.
Beliau berkata, dalam perniagaan sudah tentu ada cabaran namun usahawan perlu cekal dan tidak mudah kecewa serta sabar dalam menghadapi dugaan.
“Ada kalangan kita jadikan berniaga hanya sebagai tempat persinggahan sementara dapat kerja tetap, selepas itu tinggal perniagaan untuk kerja makan gaji.
“Sebaliknya jika konsisten, ia akan menghasilkan keuntungan lumayan dan pendapatan bertambah berbanding kerja makan gaji,” katanya.
Dr Manhathir berkata, ketika ini peniaga tidak lagi memerlukan kedai untuk mempamerkan barang kerana mereka boleh memanfaatkan platform e-dagang untuk berniaga.
“Kita boleh manfaatkan teknologi melalui platform e-commerce sedia ada seperti Tiktok, Shopee, Lazada dan berbagai-bagai lagi, bezanya kita perlu lebih kreatif dan ke hadapan.
“Kalau barang itu bagus dan menarik ramai, pastinya orang akan cari dan laris dijual,” katanya. – Malaysiapost