Restoran Hameediyah pula sahut seruan tawar Menu Rahmah
RANGKAIAN Restoran Hameediyah menyahut seruan kerajaan sekali gus menjadi restoran nasi kandar pertama di Pulau Pinang menawarkan hidangan Menu Rahmah, bermula Mac ini.
Pengurusnya, Muhammad Salim Ahmad Seeni Pakir, 31, berkata hidangan yang ditawarkan adalah nasi kosong berlaukkan sayuran dan ayam atau daging, termasuk air sirap.
Katanya, menu berkenaan sebelum ini biasanya ditawarkan pada harga RM8.50, tidak termasuk minuman.
Jelasnya, menu berkenaan pada masa ini hanya ditawarkan di restoran cawangannya di Sungai Ara sebelum diperkenalkan di cawangan lain termasuk di Lebuh Chulia pada bulan sama.
“Hidangan ini akan ditawarkan pada jam tertentu setiap hari serta tidak mensasarkan jumlah jualan.
“Harga jualan menu pada harga RM5 itu masih boleh mendatangkan keuntungan dan kami akan sentiasa mengemaskini mengenai tawaran hidangan di laman sosial Facebook Hameediyah Restaurant.
“Kami menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan program Menu Rahmah dan ini adalah usaha kami bagi menyertai saranan kerajaan selain membantu rakyat,” katanya memetik Harian Metro, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Salim berkata, pihaknya akan meneliti semula kaedah jualan itu selama tiga atau empat bulan selepas Menu Rahmah ini diperkenalkan.
“Tiga atau empat bulan selepas dilancarkan, kaedah jualan Menu Rahmah akan diteliti semula kerana ia bergantung kepada faktor bahan mentah di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berkaitan kenyataan Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin, yang memaklumkan program Menu Rahmah tidak akan bertahan lebih tiga bulan jika kos bahan mentah meningkat dan berharap kerajaan melakukan sesuatu bagi menyelesaikan isu terbabit. – Malaysiapost