‘Saya pun macam PM juga, saya tak perlu gaji’ – Nazri Aziz

‘Saya pun macam PM juga, saya tak perlu gaji’ – Nazri Aziz

DUTA Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan beliau bersedia tidak menerima gaji selepas memulakan tugas itu kerana gaji bukan keutamaannya.

Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, namun beliau tidak akan menolak jika kerajaan memberikan gaji untuk tugasannya sebagai duta di AS, lapor Utusan Malaysia.

“Saya terima jawatan ini bukan kerana duit. Macam (bekas) duta-duta yang kata rugilah calon-calon lain tak dapat duit. Mungkin gaji tinggi agaknya. Saya pun macam Perdana Menteri juga saya tak perlu gaji ini. Saya adalah duit sikit.

“Saya tak perlu kepada gaji. Mungkin juga sebab difikirkan saya ada tugas tertentu yang boleh saya berikan, itu sebab mereka putuskan (lantik saya).

“Tapi kalau (kerajaan) nak bagi (gaji) kita ambil, saya bukan lagi ahli politik, wang bukan matlamat,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, penerimaannya terhadap lantikan jawatan itu bukan soal gaji tetapi kerana mahu tanggungjawab dan merasakan beliau masih boleh memberi sumbangan kepada kerajaan untuk selama dua atau tiga tahun lagi.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, pelantikannya sebagai duta ke AS tidak seharusnya dipersoalkan kerana beliau bebas daripada elemen nepotisme, kronisme mahu pun favouritisme untuk jawatan tersebut.

Mohamed Nazri berkaya, beliau juga bukan dari kalangan ahli keluarga Perdana Menteri, selain juga bukan sebagai kroni kepada Anwar atau menjadi orang kesaya­ngannya.

“Jemaah Menteri pilih saya, setahun lalu kemudian nama saya dihantar April tahun lepas dan pada September tahun le­pas baru dilulus.

“Penjelasan Perdana Menteri bermakna pelantikan ini bukan berdasarkan favouritisme, bukan beliau yang pilih saya, bukan beliau yang memulakan proses pelantikan ini tapi zaman Datuk Seri Ismail Sabri. Jadi jelaslah, tiada pilih kasih, terima kasih Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Luar Negeri mengumumkan Mohamed Nazri dilantik sebagai duta Malaysia ke AS.

Pelantikan itu mendapat kritikan banyak pihak yang berpandangan jawatan duta perlu dikhaskan kepada diplomat yang mahir dalam hal ehwal antarabangsa. – Malaysiapost

Komen