Sindiket curi kenderaan mewah tumpas

Sindiket curi kenderaan mewah tumpas

POLIS Melaka percaya berjaya menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah yang bergiat aktif sejak 2019 di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor dengan tertangkapnya tiga lelaki warga tempatan.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah, berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan dalam operasi pada 6 Januari hingga 24 Januari lalu yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Tiga lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 43 tahun berjaya ditahan dan polis turut berjaya merampas dua kenderaan jenis Nissan Cefiro dan Honda BRV yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Polis percaya, dengan penahanan suspek berkenaan telah berjaya menyelesaikan lima kes curi kenderaan di sekitar Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, modus operandi kumpulan terbabit adalah dengan pergi ke pusat-pusat servis kenderaan dan menyamar sebagai pemilik asal bagi menuntut kenderaan tersebut.

“Suspek akan berpura-pura tergesa-gesa dengan mengambil kunci kenderaan yang diletakkan di tempat tertentu dan seterusnya membawa kenderaan itu beredar tanpa disedari oleh pemilik asal,” katanya.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda.

Sementara itu, Zainol berkata bagi tempoh Januari hingga Disember 2022, sejumlah 26 kes telah dilaporkan berkaitan kehilangan kenderaan di Melaka dan daripada jumlah itu sejumlah 13 kes telah berjaya diselesaikan pihak polis.

“Polis Melaka sentiasa komited dalam melumpuhkan segala aktiviti jenayah yang mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

“Masyarakat diseru agar sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi bersama-sama melumpuhkan aktiviti tersebut,” katanya. -Malaysiapost

Komen