Sultan Johor terima mengadap Duta Besar Turkiye ke Malaysia
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima mengadap Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel, di Johor Bahru, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, dalam pertemuan itu Emir turut mempersembahkan dokumen bersejarah hubungan antara Turkiye dan Johor yang bermula pada awal tahun 1800-an.
“Baginda Tuanku Sultan juga amat meminati bidang sejarah dan sejarah pembangunan awal negeri Johor turut mengandungi pengaruh dari kerajaan Turkiye Uthmaniyah,” menurut hantaran itu.
Terdahulu Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan bantuan berjumlah AS$1 juta kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria, manakala jumlah sama turut disumbangkan oleh Kerajaan Malaysia.
Sementara itu Perdana Menteri ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini turut memaklumkan sedang mempertimbangkan untuk bertolak ke Turkiye pada malam ini.
Anwar berkata, beliau mungkin mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta menunjukkan sokongan susulan kejadian gempa bumi di negara itu pada 6 Februari lalu.
“Saya diminta oleh Presiden Turkiye untuk segera ke sana bagi memberikan sokongan moral dan saya sedang mempertimbangkan sama ada terpaksa bertolak malam ini ke Turkiye bagi menunjukkan sokongan kita.
“Beberapa negara telah sampai dan Presiden Erdogan telah meminta saya untuk ke sana secara peribadi di sana,” katanya. – Malaysiapost