Wan Fayhsal nafi kelirukan Dewan Rakyat isu hapus hutang PTPTN

Wan Fayhsal nafi kelirukan Dewan Rakyat isu hapus hutang PTPTN

PAKATAN Harapan (PH) ada meletakkan janji menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Ahli Parlimen Machang itu berkata demikian bagi menafikan tuduhan Rafizi Ramli yang mengusulkan supaya beliau dikenakan tindakan kerana cuba mengelirukan Dewan Rakyat berhubung perkara tersebut.

“Saya nak tunjuk kepada media ini manifesto PH pengampunan hutang PTPTN bersasar ada. Ada kenyataan dibuat. Saya tidak menyalahi Dewan Rakyat. Saya tidak kata hutang PTPTN ini dihapuskan secara total tetapi saya kata memang ada.

“Saya tanya apa iltizam kerajaan. Apakah polisi kerajaan hari ini berhubung hutang PTPTN,” kata pada sidang media, hari ini.

Ketua Armada Bersatu itu berkata, anak muda ingin tahu mengenai polisi tersebut dan berdasarkan jawapan Rafizi, beliau yakin PH tidak ingin menunaikan janji berkenaan.

“Manifesto ini nampaknya tidak ingin dijadikan rujukan oleh mereka untuk dilunaskan janji-janji selepas menjadi kerajaan. Kalau kita imbau, banyak pihak berjanji dan orang yang paling banyak janji dengan formula adalah YB Pandan.

“Jangan kata, ini bukan kitab suci lagi. Saya rasa kita sudah melepasi fasa tersebut. Apakah pendirian sebenar kerajaan. Itu saya tidak nampak,” katanya.

Terdahulu, Rafizi berkata beliau akan mengusulkan supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal.

Menteri Ekonomi itu berkata, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa manifesto ada menjanjikan untuk menghapuskan pinjaman PTPTN.

“Mengikut peraturan 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis, dan ahli tu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

“YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ni (ada janji) menghapuskan PTPTN. Itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini.

“Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan ambil tindakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen