Wujudkan tabung untuk rakyat menyumbang kepada Turkiye, Syria – Shahidan
DATUK Seri Shahidan Kassim hari ini mencadangkan kerajaan mewujudkan tabung bencana negara bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Ahli Parlimen Arau dari Perikatan Nasional (PN) itu berkata walaupun kerajaan telah mempunyai dana untuk menyalurkan sumbangan kepada rakyat kedua-dua negara, namun ia perlu dibuka kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang.
“Bantuan sumbangan kepada Turkiye dan Syria bukan sahaja daripada kerajaan, tetapi rakyat Malaysia yang ingin sama-sama untuk membuat pahala.
“Jadi saya fikir kerajaan boleh tubuhkan tabung bencana negara dan kita (rakyat) boleh beri sumbangan, seorang RM1, RM2 dan sebagainya.
“Ini untuk membolehkan sumbangan rakyat Malaysia kepada kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran video di Facebooknya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM20 juta untuk digunakan dalam misi bantuan kemanusiaan di Turkiye dan Syria.
Dana itu, katanya, termasuk AS$2 juta yang disumbangkan Kerajaan Persekutuan dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, manakala bakinya disumbangkan beberapa agensi kerajaan dan syarikat korporat. – Malaysiapost