Zahid tak pernah minta kesnya digugurkan – Anwar

Zahid tak pernah minta kesnya digugurkan – Anwar

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah meminta kes mahkamah dihadapinya digugurkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata demikian di sebalik pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri susulan pembentukan kerajaan perpaduan selepas PRU15 lalu.

Tegas Anwar, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno tidak pernah campur tangan dalam pertuduhan rasuah dihadapinya di mahkamah.

“Kita mesti lihat prosesnya. Beliau (Ahmad Zahid) tidak pernah minta saya gugurkan kes,” katanya kepada media Thailand, Thai PBS dan dilaporkan Malaysiakini.

Anwar yang ditemubual ketika lawatannya ke Bangkok baru-baru ini, ditanya kerjasamanya dengan Ahmad Zahid yang berdepan kes rasuah.

Ahmad Zahid berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut Anwar berkata kerajaan tetap menjadikan tadbir urus yang baik sebagai agenda dan menegaskan Ahmad Zahid akan melalui “prosesnya”,

Beliau juga membidas pembangkang kerana membangkitkan isu tersebut.

“ketika pembangkang berteriak soal rasuah, setiap hari meratip tentang rasuah, tetapi beri kontrak RM100 juta kepada anak menantu dan kroni.

“Jadi saya kata, kalau kamu betul nak tanganinya, kena ada ketelusan,” katanya. – Malaysiapost

Komen