3 beradik termasuk bergelar Datuk didakwa cedera ibu tiri

3 beradik termasuk bergelar Datuk didakwa cedera ibu tiri

TIGA beradik termasuk dua daripadanya bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau, hari ini, atas pertuduhan mencederakan ibu tiri mereka tahun lalu.

Tertuduh yang masing-masing merupakan ahli perniagaan Datuk Kamarul Halim Muhamad Sharip, 50; Datuk Kamarul Nizam Muhamad Sharip, 55 dan Muhamad Fairuz Muhamad Sharip, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Kartini Kasran selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap ibu tiri yang berusia 42 tahun, lapor Sinar Harian.

Kesalahan itu dilakukan pada 23 Ogos 2022 jam lebih kurang 3.30 petang di Pejabat Balai Undang Rembau.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun.

Kesemua tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly membantah jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan setiap penjamin serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga prosiding kes selesai.

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen 22 Mac ini. – Malaysiapost

Kredit foto: Sinar Harian

Komen