Anwar jumpa Erdagon, zahir solidariti kepada Turkiye

Anwar jumpa Erdagon, zahir solidariti kepada Turkiye

DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan solidariti Malaysia sebagai negara sahabat Turkiye ketika bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah negara sahabat ketika saat getir dan sukar, serta memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi terutamanya dalam membantu warga Turkiye yang terkesan dengan malapetaka gempa.

“Saya turut menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat Malaysia serta memaklumkan mengenai bentuk bantuan yang telah diusahakan oleh kerajaan Malaysia.

“Bersama kita mendoakan agar peristiwa duka ini cepat berlalu dan Turkiye kembali pulih,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurutnya, turut serta dalam pertemuan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Armizan Mohd Ali; Duta Malaysia Ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk melawat dan mendengar taklimat operasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang sudah berkampung di sana bagi menyertai misi menyelamat pelbagai negara sejak minggu lalu.

Perdana Menteri tiba di Nurdagi, Gaziantep pada jam 9 pagi waktu tempatan (jam 2 petang waktu Malaysia). – Malaysiapost

Komen