Anwar jumpa pasukan SMART di Turkiye

Anwar jumpa pasukan SMART di Turkiye

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlepas ke Turkiye malam tadi akan ke Gaizantep bagi melihat sendiri kawasan terjejas akibat gempa bumi, awal minggu lalu.

Menerusi hantaran Facebook, Anwar berkata beliau juga akan berjumpa Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terbabit dalam operasi di negara berkenaan.

“Sejurus tiba di sana, saya akan ke Gaizantep bagi melihat sendiri kawasan bencana yang terjejas selain berjumpa anggota SMART kita yang telah ditugaskan membantu operasi carilamat mangsa gempa bumi.

“Saya percaya, kumpulan SMART kita berkemampuan dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi seperti yang ditunjukkan sebelum ini hingga mampu membawa keluar mangsa yang masih hidup dan terselamat dalam bencana tersebut,” katanya dalam hantaran itu.

Perdana Menteri berkata, beliau dan delegasi negara juga akan ke Ankara bagi menemui Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

“Ia bagi menunjukkan sokongan moral kepada negara yang dilanda gempa bumi itu awal minggu lalu.

“Saya memohon seluruh rakyat jelata agar mendoakan perjalanan kami dan dipermudahkan urusan disana hendaknya,” katanya.

Terdahulu, Anwar berlepas ke Turkiye malam tadi bagi menyatakan sokongan moral kepada Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lalu sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Pesawat khas yang membawa Anwar berlepas kira-kira jam 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lawatan sehari Anwar itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Amrizan Mohd Ali. – Malaysiapost

Komen