‘Anwar patut tumpu ekonomi negara bukan ke Turkiye’ – Dr Faiz

‘Anwar patut tumpu ekonomi negara bukan ke Turkiye’ – Dr Faiz

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman mempersoalkan misi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye, malam tadi.

Beliau berkata, Malaysia sudah menghantar pasukan perubatan dan anggota mencari dan menyelamat (SAR) untuk bantuan kepada mangsa gempa bumi di negara itu.

Katanya, sebagai Perdana Menteri, Anwar sepatutnya memberi fokus kepada isu utama dalam negara termasuk ekonomi.

“Apa misi PMX (Anwar) ke Turki? Jika bantuan mangsa gempa bumi sudah memadai kita hantar petugas SAR dan doktor. Anwar patut fokus ekonomi Malaysia,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri berlepas ke Turkiye malam tadi bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden Reccep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lalu.

Pesawat khas yang membawa Anwar berlepas kira-kira jam 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Anwar membuat keputusan untuk mengadakan lawatan mengejut itu atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubunginya meminta beliau ke Turkiye. – Malaysiapost

Komen