‘Apa salahnya pertimbang pengeluaran KWSP bersasar’ – Muhyiddin

‘Apa salahnya pertimbang pengeluaran KWSP bersasar’ – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar seperti dituntut rakyat.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha untuk memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

“Itulah tugas hakiki kerajaan. Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan. Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini.

“Begitu juga dengan moratorium pinjaman bank. Bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis.

“Bank-bank juga patut turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan OPR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, walaupun usia kerajaan sudah menjangkau tiga bulan, namun masih belum nampak sebarang langkah yang konkrit dan komprehensif diambil oleh kerajaan mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Kita dengar menteri kata kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam. Kalau harga telur mahal, jangan makan telur. Ini bukanlah sesuatu yang rakyat harapkan daripada kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen