Batal lesen jika Lynas hasilkan sisa radioaktif selepas Julai

Batal lesen jika Lynas hasilkan sisa radioaktif selepas Julai

LYNAS Rare Earths Ltd (Lynas) tidak dibenarkan menjalankan aktiviti yang menghasilkan sisa radioaktif tambahan di negara ini selepas Julai ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, lesen operasi Lynas akan ditarik balik sekiranya empat syarat lesen kepada syarikat tersebut tidak dapat dipenuhi.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan boleh dilakukan selepas kerajaan meluluskan lesen kepada syarikat itu bermula 3 Mac 2023 sehingga 2 Mac 2026.

“Sekiranya Lynas gagal untuk mematuhi empat syarat berkenaan, lesen mereka akan ditarik balik.

“Semua syarat lesen yang telah diputuskan sebelum ini pada 3 Mac 2020 hingga 2 Mac 2023 perlu terus dipatuhi oleh Lynas,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Lih Kang menjelaskan, empat syarat berkenaan adalah berkaitan aktiviti cracking & leaching (C&L), penjanaan residu Water Leach Purification (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid daripada Australia serta pembinaan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Menurutnya, Lynas perlu mematuhi syarat yang telah dikenakan sejak Mac 2020 supaya aktiviti cracking & leaching yang mana menghasilkan sisa radioaktif akan dijalankan di Australia dan tiada aktiviti ini dilakukan di Gebeng, Pahang selepas Julai 2023.

“Tidak ada mana-mana pihak yang berhak untuk menghasilkan sisa radioaktif secara berterusan di tanah air kita. Dalam erti kata lain, tiada lagi sisa radioaktif tambahan daripada Lynas selepas Julai 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, sejak Lynas beroperasi di Malaysia pada tahun 2012, syarikat itu telah menghasilkan kira-kira 1.08 juta metrik tan sisa radioaktif (residu WLP).

“Jumlah sisa ini dijangka akan mencecah 1.2 juta metrik tan sehingga Julai 2023,” jelasnya.

Semalam, Lynas memaklumkan menerima notis daripada Jabatan Tenaga Atom bahawa Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bersetuju meluluskan permohonan bagi pembaharuan lesen operasi syarikat itu, berkuat kuasa dari 3 Mac 2023 untuk tempoh tiga tahun.

Namun, mereka kecewa kerana lesen operasi itu diperbaharui tanpa perubahan kepada syarat yang tertakluk kepada lesen dikeluarkan pada Mac 2020. – Malaysiapost

Komen