Bau jenazah, darah antara keadaan dikongsi Ebit mengenai gempa di Turkiye

Bau jenazah, darah antara keadaan dikongsi Ebit mengenai gempa di Turkiye

“MALAYSIA, Malaysia, Malaysia,” begitulah jeritan rakyat Turkiye apabila melihat bendera Malaysia bersama kumpulan yang membawa bantuan bagi mangsa gempa bumi di negara berkenaan.

Keadaan itu dikongsikan pendakwah terkenal Ebit Lew yang kini bersama pasukannya dalam misi kemanusiaan membantu mangsa gempa Turkiye.

Menurut Ebit selain kegembiraan penduduk setempat melihat kehadiran bantuan daripada Malaysia, perjalanan pasukannya ke kawasan bencana juga dipermudahkan.

“Banyak tentera tabik hormat di jalan. Ada sekatan jalan terus mereka lepaskan. Mereka benar-benar hargai kita. Terharu rasa. Allahuakbar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, perasaan sedih turut dirasai apabila melalui bandar-bandar yang musnah kerana gempa bumi dengan sepanjang jalan kelihatan penduduk yang menangis menanti jenazah keluarga mereka.

“Kehilangan rumah dan segala harta benda terutama orang tersayang. Di kala kesejukan teramat. Masih ramai yang trauma. Ada yang kehilangan semua anaknya. Ada yang kehilangan bayi. Ada yang kehilangan isteri dan semua anak-anak. Ada ibu yang semua anaknya masih belum dijumpai.

“Semua kedai, pasar raya, hotel, rumah musnah. Melihat bangunan tinggi musnah. Jika masih berdiri habis retak dan tiada berani yang dekat.

“Lihat empat tingkat menjadi satu. Terlihat tilam-tilam bertindih rapat antara tingkat. Di saat tidur bagaimanalah ya Allah,” katanya.

Ebit berkata, bau jenazah dan darah juga dapat dihidu selain melihat kesungguhan anggota penyelamat mencari mangsa.

“Lihat anggota penyelamat yang bila dapat terjumpa mangsa. Keluarga mangsa menanti di tepi dengan tangisan. Sepanjang kami di sini ada juga merasai gempa susulan tapi yang tak besar.

“Hidupkan unggun api di waktu malam untuk memanaskan badan masing-masing. Tidur di khemah. Tidur di kereta. Suhu -1 darjah celcius tanpa pemanas waktu malam amat memeritkan. Ada tempat suhu -14 darjah,” katanya.

Menurutnya, bantuan ‘toto’, selimut dan tilam yang dibawanya selori sekejap sahaja habis diagihkan, begitu juga dengan bahan makanan yang dibawa.

“Anak-anak kecil kita hadiahkan mainan. Teringat macam anak di rumah. Mereka gembira sangat. Anak kecil betul-betul gembira bila kita bercakap dan bersama mereka. Ada kehilangan keluarga dan diam terkejut dengan apa yang terjadi.

“Ya Allah ampunkanlah kami semua. Bantulah setiap orang di sini dan berilah kekuatan pada mereka ya Allah. Di saat hidup rasa perit. Melihat ini semua membuat hati ini tak berhenti ulang rasa syukur.

“Terima kasih atas segala nikmatmu. Maafkanlah kami atas kelalaian kami,” katanya. – Malaysiapost

Komen