Bekas kapten bola sepak diselamatkan dari gua di Thailand meninggal dunia di UK
DUANGPETCH Promthep, salah seorang daripada 12 kanak-kanak lelaki yang diselamatkan dari gua Tham Luang, Chiang Rai, Thailand lima tahun lalu, meninggal dunia di United Kingdom (UK).
BBC melaporkan, dia ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik asrama tempatnya menginap pada Ahad lalu, sebelum dibawa ke hospital.
Dia disahkan meninggal dunia, namun belum diketahui punca kematian.
Berita kematian remaja lelaki itu dikongsi oleh seorang sami di wilayah Chiang Rai, dalam status media sosialnya.
“Duangpetch Promthep kini sudah pergi ke dunia lain.
“Saya harap dia akan dilahirkan semula dan kembali menjadi pelajar saya dalam kehidupan akan datang,” tulis Supatpong Methigo di Facebook.
Bekas kapten pasukan bola sepak Wild Boars Thailand itu mendapat biasiswa untuk menuntut di Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House, Leicestershire.
Pada Julai 2018, Duangpetch bersama 11 rakan sepasukan serta jurulatih mereka diselamatkan selepas terperangkap di dalam guna Tham Luang di Chiang Rai selama 18 hari.- Malaysiapost