Cedera ketika penggambaran, Hairul Azreen terpaksa rehat
PELAKON Hairul Azreen terpaksa berehat sementara daripada meneruskan penggambaran filem The Original Gangster (The OG) selepas ligamen krusiat anterior (ACL) lutut kirinya cedera.
Pemilik nama sebenar Hairul Azreen Idris itu, turut meminta maaf kepada semua yang menjayakan produksi itu kerana dia perlu rehat untuk kembali sembuh.
“Dukacita dimaklumkan saya tak dapat teruskan shooting THE OG disebabkan ACL lutut kiri saya putus. Minta maaf kawan-kawan dan pasukan produksi.
“Dah sampai masa untuk saya rehat,” katanya menerusi hantaran video Instagram.
Hairul berkongsi berita mengenai kecederaannya itu menerusi beberapa foto dan video dalam hantaran berkenaan.
Ia termasuk klip kakinya dirawat dan menjalani CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer).
Dia juga turut membalas sebuah komen pengikutnya mengatakan hanya mereka yang pernah kena (cedera) ACL tahu macam mana peritnya.

“Dulu kanan, sekarang kiri pula,” katanya.
Filem yang menjalani penggambaran sejak bulan lalu itu merupakan terbitan Syamsul Yusof Films bersama Razor’s Edge Pictures.
The OG adalah filem arahan Syamsul itu turut membariskan nama-nama hebat termasuk Datuk Rosyam Nor, Yayan Ruhian, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Shaheizy Sam dan Soffi Jikan.
Sementara itu, menerusi ruangan komen ramai rakan selebriti meninggalkan kata-kata semangat kepadanya selain mendoakan Hairul cepat sembuh. – Malaysiapost