Chef Wan akui perlukan masa ‘sembuh’ daripada kesedihan pemergian ibu
CHEF selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan mengakui masih memerlukan masa untuk ‘sembuh’ daripada kesedihan atas pemergian arwah ibunya, Allahyarham Noraini Abdullah.
Menerusi catatan di Instagramnya, Chef Wan menjelaskan insiden pilu apabila dia tidak dapat menahan tangisan ketika berada di konti Buletin FM dalam segmen Bicara Petang, baru-baru ini.
Menurut Chef Wan, suasana di konti stesen radio itu pada mulanya ceria apabila temubual berkisar mengenai kerjaya dan perkembangan restoran miliknya di seluruh negara.
“Sehinggalah mereka menyentuh mengenai ibu saya yang telah meninggal dunia. Oleh kerana hati dan jiwa masih bersedih, saya tiba-tiba merasakan betapa saya amat merindui ibu dan mula menangis.
“Kebetulan, DJ Hanif pun baru sahaja kehilangan ayahnya beberapa hari lalu membuatkan dia turut menangis,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam pada itu, Chef Wan mengakui antara saat yang paling menyedihkan dalam kehidupan adalah berdepan kehilangan orang tersayang serta terpaksa menanggung kesedihan itu sendiri.
“Ada waktunya kita perlu menangis untuk membiarkan segala kesakitan dan kesedihan pergi. Kita perlu melepaskannya supaya kita boleh berdiri dan menjadi lebih kuat lagi,” katanya.
Kata Che Wan lagi, walau seteruk mana kesedihan yang ditanggung olehnya ketika ini, ia tidak boleh dibandingkan dengan ‘kehilangan’ yang dirasai mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
“Tidak dapat dibayangkan dan tidak ada kata-kata yang sesuai dengan kesedihan mendalam yang ditanggung mereka (mangsa gempa).
“Sentiasalah beringat setiap kesedihan, kesusahan itu Allah juga perbagai-bagaikannya untuk dijadikan ujian kepada setiap manusia,” katanya.
Chef Wan juga menasihati mereka yang sedang diuji supaya kuat dan tabah menghadapinya serta sentiasa bersyukur dan redha dengan ketentuan Allah SWT.
“Tiada siapa dalam hidup ini tidak akan pernah menghadapi kesedihan atau kebahagiaan. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan.
“Dari semua ini datang begitu banyak pengajaran dalam hidup yg juga Allah mahu kita pelajari. Buruk atau pun baiknya kita akan sama-sama mempelajarinya,” katanya.
Untuk rekod, ibu Chef Wan meninggal dunia pada usia 93 tahun di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, 12 Januari lalu.
Allahyarham Noraini atau lebih dikenali sebagai Che Ani menghembuskan nafas terakhir selepas 10 hari dirawat akibat kanser dan Alzheimer. – Malaysiapost