Fitnah di TikTok, Sany hilang sabar lagi

Fitnah di TikTok, Sany hilang sabar lagi

AHLI Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan sekali lagi ‘hilang sabar’ di Dewan Rakyat apabila pembangkang mendakwa kerajaan menekan anak muda daripada bersuara di media sosial terutama di aplikasi TikTok.

Kali ini Sany lantang mencelah ketika Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berbahas menjunjung titah Yang di Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa kerajaan menghalang anak muda di aplikasi TikTok untuk bersuara, memandangkan ia adalah medium utama digunakan PN untuk memancing undi daripada golongan tersebut.

Sany ketika bangkit meminta pencelahan, menegaskan PN boleh kritik, hentam, bantai kerajaan tetapi sama sekali tidak boleh menyebarkan fitnah.

“Saya rasa kalau nak kritik tak ada masalah. Kritiklah, hentamlah, bantailah. Tak ada masalah, kita boleh terima.

“Tapi isunya, semalam disebutkan (tentang) tiga budak perempuan. Eh soal buat fitnah ni tak kira budak perempuan ke budak lelaki ke orang tua ke orang muda ke.

“Kalau fitnah, kita tak boleh terima. Nak kritik, kritik. Nak hentam, hentam. Yang tak puas hati, bangunlah, bangun, bangun,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin membalas hujah Sany dengan menegaskan, jika kritikan dilemparkan oleh rakyat bukan perkara yang terbukti fitnah, maka ia menjadi hak rakyat untuk bersuara.

“Kita tak nak bergaduh di sini Yang Dipertua. Kalau yang benar ialah benar. Kalau fitnah, tetap fitnah.

“Tapi kalau bukan fitnah, inilah penyataan hak rakyat untuk menyatakan sesuatu menerusi media TikTok. Apa salahnya?,” katanya.

Namun Sany tidak mengalah dan bingkas membidas Muhyiddin dengan mendakwa pembangkang gemar menyebarkan fitnah yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Isunya sebelah sana buat fitnah yang memang tak betul. Ini boleh ancam keselamatan negara. Inilah masalah PN ni, buat fitnah,” katanya. – Malaysiapost

Komen