Guru boleh merekod PBD secara atas talian atau hibrid
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk memberi autonomi kepada guru untuk memilih sama ada untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan pentaksiran bilik darjah (PBD) murid secara atas talian atau hibrid.
Dalam satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan prihatin akan isu dihadapi guru untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan PBD murid bagi sesi akademik tahun 2022/2023 dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB), KPM.
“KPM memutuskan, guru diberi autonomi untuk memilih sama ada untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan PBD secara luar talian atau menggunakan SPPB (secara hibrid).
“Templat baharu untuk pengisian PBD bagi pelaporan ujian akhir sesi akademik tahun 2022/2023 secara luar talian akan disediakan sebagai alternatif,” menurut kenyataan itu.
KPM turut menyatakan akan komited dalam mengurangkan beban tugas guru dan memastikan kebajikan guru terpelihara.
Terdahulu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan SPPB akan ditutup susulan pihaknya menerima banyak aduan dan keluhan berkaitan sistem berkenaan yang tidak dapat berfungsi seperti mana para guru harapkan.
Beliau berasa kesal dan memohon maaf atas segala kesulitan dan tekanan yang terpaksa dilalui oleh para guru susulan isu berkenaan.
“Justeru, SPPB akan ditutup pada hujung minggu ini agar dapat ditambah baik dan tidak menjadi tekanan kepada guru.
“KPM akan mengambil beberapa langkah termasuk menggerakkan pasukan pegawai di peringkat daerah dan negeri untuk ke sekolah-sekolah bagi membantu guru mengemaskini data dan melengkapkan proses kerja berkaitan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, 10 Februari lalu. – Malaysiapost