Jangan gunakan kuasa PM untuk tekan saya, PN – Muhyiddin

Jangan gunakan kuasa PM untuk tekan saya, PN – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak menyalahgunakan kuasa untuk menekan beliau dan Perikatan Nasional (PN)

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar ketika ini didakwa sengaja mencari kesalahan kerajaan terdahulu dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Pengerusi PN itu turut menyentuh tuduhan beliau menyeleweng RM600 bilion ketika menjadi Perdana Menteri.

“Saya perhatikan kepimpian kerajaan hari ini cenderung untuk mengambil tindakan berbentuk, dengan izin, witch-hunting, atau mencari kesalahan kerajaan dahulu yang sebenarnya tidak wujud.

“Melemparkan tuduhan bukan-bukan. Kononnya saya seleweng RM600 bilion. Kemudian turun nilainya kepada RM92.5 bilion. Kemudian turun lagi kepada RM4 bilion hingga RM5 bilion. Yang terakhir RM300 juta.

“Apa ini? Angka berubah-ubah ini keluar dari mulut Perdana Menteri sendiri. Seolah-olah Perdana Menteri pun tidak pasti apa yang dia tuduh. Kalau tidak pasti, jangan tuduh sembarangan,” ucapnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika berbahas menjunjung titah Yang di Pertuan Agong sempena pembukaan persidangan Dewan Rakyat penggal ke-15.

Justeru, Pengerusi Bersatu menegaskan tidak pernah mengambil satu sen wang rakyat dan jangan samakan beliau dengan Perdana Menteri yang lain sebelum ini.

“Saya tidak ambil wang rakyat walau satu sen pun masuk ke kocek saya. Boleh siasat, tetapi jangan samakan saya dengan yang lain. Jangan samakan parti saya dengan parti yang lain.

“Saya nak ingatkan Tambun, jangan salah guna kuasa sebagai Perdana Menteri untuk menekan saya dan PN.

“Saya juga nak ingatkan di dewan yang mulia ini, Tambun pernah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Maaf, bukan niat saya untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Tambun. Itu sejarah lampau,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan Dewan Rakyat kuasa yang dimiliki itu tidak akan kekal selamanya.

“Sekarang, dengan izin Allah s.w.t jua, Tambun kembali ke tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa. Dialah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia mahu, dan Dialah yang menarik kekuasaan daripada sesiapa yang Dia mahu.

“Tiada kuasa yang kekal melainkan kekuasaan Allah s.w.t. jua. Kuasa saya sebagai Perdana Menteri tidak kekal. Kuasa Tambun sebagai Perdana Menteri juga tidak akan kekal selama-lamanya,” katanya. – Malaysiapost

Komen