Kes tikam Hospital Selayang bukan sebab sesak – Dr Noor Hisham
KEJADIAN pesakit mental menikam pesakit lain bukan berpunca daripada kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham menjelaskan pesakit mental boleh bertindak di luar jangka di mana-mana tempat sekalipun.
Justeru, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) menguruskan pesakit mental yang dibawa oleh anggota polis untuk mendapatkan rawatan fasiliti kesihatan perlu diperkemaskan bagi mengelak situasi luar jangka membabitkan golongan itu berulang.
“Kita kena perkemaskan SOP, kebetulan (pesakit mental) datang ke tempat kecemasan, itu jadi tanggapan disebabkan kesesakan.
“Kalau pesakit psikiatri terganggu fikiran, bukan di hospital pun dia akan jadi masalah juga. Jadi laporan nak tuju kepada kesesakan mungkin bukan sebab musabab. Yang penting adalah rawatan.
“Jabatan Kecemasan memang sentiasa sesak tetapi isunya ialah SOP. Kalau dia pesakit psikiatri, kita kena ada SOP supaya kita jaga keselamatan pesakit lain,” katanya.
Dalam kejadian malam tadi, seorang pesakit yang menunggu untuk menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang ditikam seorang pesakit yang mengalami masalah psikiatri.
Difahamkan, mangsa yang menghidap demam denggi datang ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan sebelum dia diserang.
Mangsa yang cedera disahkan dalam keadaan stabil. – Malaysiapost