Ketetapan PAU2022: RoS panggil ahli Umno rakam keterangan
SEORANG ahli Umno memaklumkan telah dipanggil Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk memberi keterangan, semalam.
Aizat Fikri Nasir Fikri, ahli Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, RoS meminta keterangannya susulan laporan dibuat berkenaan ‘Pelanggaran Perlembagaan Umno semasa PAU2022’.
“Pihak RoS mengambil maklum dan sedang mengkaji Fasal 8.1 Perlembagaan Umno: Perhimpunan Agung adalah kuasa tertinggi parti dan perjalanan parti adalah berasaskan kepada kuasa dan perintahnya tertakluk kepada perlembagaan dan juga peraturan Umno.
“Perlembagaan juga di bawah Fasal 9.3 telah menyatakan: Pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 ahli MKT hendaklah dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun sekali,” katanya hari ini.
Januari lalu, PAU2022 memutuskan jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan setelah mendapat undi sebulat suara daripada perwakilan.
Mengulas lanjut, Aizat Fikri berkata, isu yang timbul ialah walaupun PAU mempunyai kuasa tertinggi namun ia tidak boleh meluluskan sesuatu yang bercanggah atau tiada dalam perlembagaan.
“Sebagai contoh, jika ada usul dibawa dalam PAU untuk Umno mewujudkan dua jawatan presiden, ia tidak boleh diambil kira kerana perlembagaan Umno menyatakan hanya satu jawatan Presiden.
“Bahkan dalam urusan kerajaan, Dewan Rakyat tidak boleh membuat ketetapan bercanggah dengan perlembagaan negara (ultra vires), jika ia berlaku ketetapan itu terbatal secara automatik.
“Ketetapan ini juga tidak dibuat mengikut peraturan persidangan perhimpunan agung apabila gagal memberi notis selama 14 atau tujuh hari seperti dinyatakan dalam peraturan 10.1 pemberitahuan usul,” katanya.
Aizat Fikri turut menegaskan, mengikut peraturan 20.1 Pindaan Usul, pada masa sesuatu usul itu dalam pertimbangan persidangan atau jawatankuasa bolehlah dicadangkan pindaan-pindaan jika ia berkaitan dengan usul itu.
“Saya telah menjelaskan kepada RoS bahawa usul ucapan dasar presiden dan usul tambahan itu adalah dua perkara berbeza dan tidak berkaitan.
“Pihak RoS juga menjelaskan kepada saya, tempoh 60 hari yang diberi kepada Umno itu bukanlah tempoh siasatan tetapi ia bagi Umno menghantar laporan penuh persidangan baru-baru ini.
“Siasatan bagi laporan ini akan tetap diteruskan sekali gus menafikan kenyataan Setiausaha Agung Umno bahwa isu ini selesai,” katanya.
Aizat Fikri juga memaklumkan, RoS berpuas hati dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan dengan adil secepat mungkin menyedari Umno kini dalam tempoh persidangan.
Katanya, ROS juga mengambil maklum bahawa sebarang keputusan daripada RoS boleh memberi kesan terhadap pemilihan kali ini.
“Saya juga dimaklumkan ada ahli MKT yang akan dipanggil RoS bagi mendapatkan pandangan mereka tentang usul tersebut dan cara usul itu dibawa.
“Saya harap presiden dan timbalan presiden dapat bersabar dan tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan. Biarlah RoS menjalankan siasatan dengan adil dan bebas,” katanya. -Malaysiapost