KJ mula tugas sebagai DJ hari ini

KJ mula tugas sebagai DJ hari ini

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memulakan tugas sebagai penyampai radio (DJ) di Hot FM bersama Johan dan AG dalam segmen Bekpes Hot dari jam 6 hingga 10 pagi, hari ini.

Ahli politik yang lebih mesra dipanggil KJ memulakan tugasnya secara rasmi sebagai DJ bermula hari ini, selepas tewas di kerusi Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno turut dipecat daripada partinya pada 27 Januari lalu atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU-15.

“Selamat pagi kepada semua KJ DJ melaporkan diri di Hot FM,” katanya ketika pertama kali berkumandang hari ini.

Ditanya oleh rakan penyampai AG atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Selamat, mengapa beliau memilih Hot FM selepas beberapa minggu tidak terikat dengan mana-mana pihak, KJ percaya stesen radio berkenaan adalah yang terbaik.

“Cakaplah ‘kalah’…kau orang ni berlapik betul…Tapi serius saya sertai Bekpes Hot ini kerana sudah pasti Hot FM terbaik di pasaran.

“Saya pun masih ada lagi cita-cita politik…tak nak orang lupa saya, jadi kita boleh berbincang dan bergurau setiap pagi,” katanya.

Menurutnya, perbincangan itu tidak terlalu serius tetapi berguna untuk menambah sedikit elemen ilmu dan juga elemen isu semasa dan berita kepada program terbabit.

Sementara itu memetik laporan Harian Metro, KJ menyifatkannya pengalaman hari pertamanya sebagai penyampai radio tidak teruk.

“Chemistry (keserasian) itu ada dengan AG, Johan. Tapi mungkin akan jadi lebih lancar dalam minggu-minggu yang akan datang.

“Kita masih lagi tengah cari chemistry yang terbaik dan juga rentak terbaik. Tapi bagi saya pengalaman saya hari ini okey alhamdulillah.

“Taklah rasa gemuruh sangat dan memang bersahaja dengan AG dan Johan. Ada persefahaman yang baik,” katanya.

Berkenaan jadual tugasnya, KJ berkata dia mempunyai banyak kerja lain dah sudah berbincang dengan pengurusan Media Prima Audio (MPA

“Saya pun tak dapat buat setiap hari. Kita setuju akan buat seminggu sekali pada hari Isnin jam 8 hingga 9 pagi, di mana saya akan bagi kupasan mengenai isu semasa dalam minggu tersebut termasuklah isu politik, isu ekonomi dan sebagainya.

“Jadi Bekpes Hot ini kita nak jadikannya sebagai satu ‘show’ yang lebih menyampaikan maklumat yang berfaedah kepada pendengar,” katanya.

KJ berkata, perubahan karier sebagai ahli politik kepada penyampai radio pula tidak menjadi beban kerana baginya kemahiran asasnya sama.

“Orang politik bercakap, DJ pun cakap. Sekarang ini saya tengah cari macam mana saya boleh guna pengalaman sebagai ahli politik selama ini untuk membawa isu-isu yang agak berat tapi dengan cara yang lebih mudah difahami oleh rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen