KKM jelaskan kepada keluarga insiden lelaki ditikam pesakit mental

KKM jelaskan kepada keluarga insiden lelaki ditikam pesakit mental

KES seorang lelaki yang cedera akibat ditikam pesakit mental di Hospital Selayang, semalam kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagaimanapun sudah memberi penjelasan kepada keluarga mangsa mengenai keadaan yang berlaku,

Beliau berkata, pihak keluarga lelaki yang cedera itu juga dimaklumkan mengenai usaha-usaha yang telah dilakukan dalam memastikan pesakit diberikan rawatan yang terbaik.

“Sejurus mendapat perkhabaran insiden di Hospital Selayang, saya bergegas ke lokasi selepas sesi Parlimen, bagi mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada pihak hospital.

“Saya bersama Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Pengarah Hospital serta pasukan doktor yang merawat mangsa, telah bertemu keluarga mangsa bagi menjelaskan keadaan yang berlaku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, status terkini pesakit juga akan dilaporkan dari masa ke semasa kepada keluarga.

“Perkara ini sedang dalam siasatan pihak yang berwajib,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan seorang pesakit lelaki di Hospital Selayang cedera akibat ditikam seorang pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.

Difahamkan, mangsa yang menghidap demam denggi datang ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan sebelum diserang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu ciapan di Twitter hari ini, turut mengesahkan kejadian.

“Sebelum tular maklumat yang salah, saya ingin memaklumkan bahawa kejadian lelaki ditikam (semalam) membabitkan pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.

“Ia boleh terjadi di mana-mana sahaja. Kita perlu melindungi pesakit di Jabatan Kecemasan dan klinik,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu prosedur operasi standard (SOP) untuk pesakit yang mengalami gangguan psikiatri akan disemak semula. – Malaysiapost

Komen