KLN sediakan 2 pusat pengumpulan sumbangan ke Syria

KLN sediakan 2 pusat pengumpulan sumbangan ke Syria

PIHAK yang ingin menyumbang bantuan kemanusiaan ke Syria diminta untuk menghantar barangan ke pusat pengumpulan di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan dikeluarkan Wisma Putra hari ini, memaklumkan pusat pengumpulan itu bagi memastikan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria adalah teratur dan selamat.

“KLN dan NADMA, mengalu-alukan penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam misi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria.

“Semalam, KLN telah mengadakan mesyuarat dengan wakil NGO dan syarikat untuk membincangkan tatacara penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria secara teratur dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, barang bantuan boleh dihantar di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), NADMA Malaysia di Jalan Pulai Meranti, Puchong, Selangor.

Satu lagi pusat pengumpulan adalah di PBSM Malaysia di Lot PT54, Lengkok Belfield off Jalan Wisma Putra, Kampung Attap, Kuala Lumpur.

“Waktu serahan di Markas SMART adalah pada jam 10 pagi hingga 9 malam pada hari ini dan esok dan orang ramai boleh hubungi 03-80642400 untuk maklumat lanjut.

“Serahan di PBSM pula adalah pada waktu pejabat 9 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat dan boleh hubungi talian 03-21428122 jika pemberian diluar waktu operasi,” katanya.

Menurut Wisma Putra, barangan yang diperlukan bagi bantuan kemanusiaan ke Syria adalah makanan kering seperti pek makanan sedia dimakan, biskut, makanan dalam tin, buah kurma, mi segera, bar snek dan minuman 3 dalam 1.

“Barang bukan makanan seperti beg tidur, tuala wanita, kanvas plastik dan tali (khemah), lampu puncak (headlight) dengan bateri, lampu solar mudah alih dan alat pemanas (palam C dan palam F).

“Pakaian untuk musim sejuk untuk dewasa dan kanak-kanak selain keperluan bayi termasuk susu formula untuk bayi bawah tiga tahun, lampin dan makanan bayi,” katanya.

Wisma Putra mengingatkan para penyumbang untuk melabelkan kesemua item yang ingin didermakan dengan jelas.

“Kesemua barangan perlu dibungkus dengan kemas ke dalam kotak atau pembungkus plastik sebelum penghantaran dibuat di pusat pengumpulan.

“Setiap sumbangan perlu diakui terima pegawai NADMA dan PBSM yang bertugas di pusat pengumpulan tersebut untuk tujuan rekod,” katanya. – Malaysiapost

Komen