Kontrak RM1 bilion kepada menantu, Muhyiddin dakwa fitnah, sedia ambil tindakan

Kontrak RM1 bilion kepada menantu, Muhyiddin dakwa fitnah, sedia ambil tindakan

DAKWAAN terbabit skandal rasuah terutama tuduhan memberi kontrak bernilai RM1 bilion kepada menantu disifatkan sebagai fitnah dan pembohongan.

Perkara itu diberitahu Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat sekali gus menafikan dakwaan berkenaan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya berkenaan tuduhan ke atas beliau itu.

“Itu suatu fitnah dan pembohongan…tak apa kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya tanpa mengulas bentuk tindakan yang akan diambil.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian menjawab gesaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mencelah ketika beliau membahaskan Titah Diraja, hari ini.

Terdahulu, Poay Tiong bangkit mengajukan soalan mengenai kontrak diberikan kepada menantu Muhyiddin, meskipun tidak diberi laluan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu yang sedang berucap.

Keadaan sedikit kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen turut serta termasuk Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang menggesa Muhyiddin mengambil tindakan sekiranya dakwaan rasuah itu satu pembohongan.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan pembabitan Muhyiddin dalam pemberian kontrak bernilai RM1 bilion kepada menantunya tidak akan tersebar luas jika ia tidak benar.

Bagaimanapun Anwar menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menentukan sejauh mana pembabitan Muhyiddin dalam penganugerahan kontrak berkenaan. – Malaysiapost

Kredit foto: Benar News

Komen