KPDN lancar projek rintis stesen minyak tanpa subsidi

KPDN lancar projek rintis stesen minyak tanpa subsidi

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), melancarkan projek rintis pembekalan petrol RON95 dan diesel tanpa subsidi di Padang Besar, Perlis, hari ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata projek berkenaan adalah antara usaha kerajaan dalam membendung penyelewengan minyak bersubsidi terutamanya di negeri-negeri bersempadan dengan negara asing.

“Hal ini kerana aktiviti penyeludupan produk petroleum ini tetap berleluasa walaupun bermacam modus operandi dan kaedah telah dilaksanakan.

“Saya harap usaha KPDN untuk mendaya upaya ekonomi di sempadan ini dapat disuburkan seterusnya membantu rakyat menjana pendapatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan projek rintis berkenaan yang akan dilaksanakan di Perlis terlebih dahulu bagi tempoh tiga bulan dari Februari hingga April 2023.

Ia bagi menilai keberkesanan program berkenaan sebelum dilaksanakan di negeri-negeri sempadan yang lain seperti Kedah, Perak, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu KPDN dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, memaklumkan inisiatif pembekalan minyak petrol dan diesel tanpa subsidi kepada kenderaan pendaftaran asing itu adalah usaha menangani ketirisan subsidi.

“Inisiatif ini akan memberi kemudahan kepada kenderaan berpendaftaran asing untuk mendapatkan bekalan minyak petrol dan diesel di stesen minyak komersial atau akan datang di stesen minyak sedia ada dengan harga komersial dan tanpa subsidi.

“Melalui pelaksanaan projek ini, Arahan Pengawal Bekalan yang baharu (hanya untuk pelaksanaan di Perlis) telah dikeluarkan berkuatkuasa 1 Februari 2023 mengenai larangan penjualan minyak diesel kepada kenderaan berpendaftaran asing.

“Semua kenderaan berpendaftaran asing di Perlis bagaimanapun masih boleh mendapatkan bekalan minyak petrol atau diesel tanpa subsidi,” katanya.

KPDN memaklumkan buat masa ini terdapat dua stesen minyak tanpa subsidi masing-masing di Padang Besar dan Wang Kelian. – Malaysiapost

Komen