Lebih RM50 juta dikumpul untuk mangsa gempa Turkiye dan Syria

Lebih RM50 juta dikumpul untuk mangsa gempa Turkiye dan Syria

TABUNG Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) telah menerima sumbangan bernilai lebih RM50 juta bagi membantu meringankan beban mangsa tragedi gempa bumi Turkiye dan Syria.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata jumlah berkenaan adalah daripada pelbagai penyumbang termasuk syarikat korporat dan persendirian.

Beliau mewakili Kementerian Luar Negeri (KLN) telah menerima sumbangan berkenaan dalam Majlis Sumbangan Dana Bencana, malam tadi.

“Majlis bagi meringankan beban mangsa tragedi gempa bumi Turkiye dan Syria diadakan di Kompleks Seri Perdana dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Zambry turut merakamkan setinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia dan para penyumbang yang sangat prihatin dan pemurah.

Beliau kemudian bersama, Perdana Menteri serta deligasi Malaysia berlepas ke Turkiye dan akan ke Gaizantep bagi melihat sendiri kawasan terjejas teruk akibat gempa bumi kuat pada 6 Februari lalu.

Terdahulu Anwar dalam satu hantaran di Facebook, memaklumkan beliau akan berjumpa Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terbabit dalam operasi di negara berkenaan.

Anwar berkata, beliau dan delegasi negara juga akan ke Ankara bagi menemui Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan untuk menunjukkan sokongan moral. – Malaysiapost

Komen