“Menang selfie kalah undi” – KJ

“Menang selfie kalah undi” – KJ

KHAIRY Jamaluddin yang memulakan pengalaman baharunya sebagai penyampai radio (DJ) di Hot FM, hari ini memaklumkan sedang dalam tempoh ‘bertenang’ daripada arena politik negara.

Bekas Menteri Kesihatan dan bekas Ahli Parlimen Rembau itu, berkata walaupun banyak menerima tawaran untuk menyertai parti lain, beliau mahu berehat dahulu.

“Sekarang ini berehat dulu..ramai yang ajak sertai parti mereka..tetapi saya rasa biar bertenang dulu,” katanya ketika berkumandang buat pertama kali sebagai DJ di segmen Bekpes Hot jam hari ini.

Menjelaskan mengapa beliau ingin berehat dan memilih menjadi DJ, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan KJ berkata, tarikh 19 November 2022 adalah hari yang bersejarah untuknya.

“Hari saya kalah pilihan raya. Daripada situ memang ‘out’ terus..dulu masa 2018 kalah kerajaan tetapi saya masih lagi Ahli Parlimen. Tetapi kali ini menteri (jawatan) pun dah tak ada, Ahli Parlimen pun kalah.

“Saya pun tak tahu, mulanya saya ingat ada pencen, jadi saya rasa tak apa kalah ada pencen, ialah dah jadi menteri lama Menteri Belia dan Sukan, Menteri Kesihatan semua. Jadi Ahli tiga penggal.

“Saya tanyalah..dapat pencen kan sebab tiada pendapatan. Mereka kata ia dapat pencen tetapi saya kena tunggu sampai saya berusia 50 tahun,” katanya.

Menurutnya, beliau kini berusia 47 tahun, maka tiga tahun tiada punca pendapatan sebab itulah memilih Hot FM.

Berkongsi mengenai hari paling bersejarah dalam hidupnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu, Khairy berkata pada hari terakhir berkempen, beliau merasakan akan menang di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

“Pada hari terakhir kempen saya ingat saya memang sebab mana-mana saya pergi semua orang nak ‘selfie’ dengan saya. Rupa-rupanya menang selfie kalah undi..Peribahasa baharu KJ..menang selfie kalah undi,” katanya sambil disambut gelakan rakan penyampai AG dan Johan.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjemputnya untuk menyertai pengurusan pasukan itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada TMJ kerana telah menjemput saya untuk menjadi sebahagian daripada JDT pasukan yang terbaik di Malaysia

“Jadi insya-Allah dalam masa yang terdekat saya akan umumkan penglibatan saya dengan pasukan JDT,” katanya.

“Dulu orang kata tak serius jadi DJ Hot FM, hari ini ternyata serius. Lebih kurang pasti (sertai JDT) tapi ada sedikit konflik kerana saya penyokong Kedah..dari dulu sokong Kedah sebab emak saya orang Kedah,” – Malaysiapost

Komen