Menu Rahmah diperluas di R&R PLUS

Menu Rahmah diperluas di R&R PLUS

PROGRAM Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5, akan dilaksanakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya PLUS dalam masa terdekat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata cadangan pelaksanaan program yang bakal memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya itu, sudah dibincang pihak PLUS bersama pengendali gerai makanan di R&R.

“Sebagai tanda sokongan kepada program Menu Rahmah, saya hari ini telah mengusulkan kepada pihak PLUS untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“PLUS secara amnya telah bersetuju dengan cadangan itu. Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pengendali gerai makanan berhubung cadangan itu,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Menurut Nanta Linggi, pihak PLUS akan menyediakan perancangan yang lebih konkrit bagi melaksanakan perancangan Menu Rahmah di R&R PLUS itu.

Beliau turut berterima kasih kepada PLUS atas kerjasama yang baik dan berharap ia memberikan manfaat kepada pengguna lebuh raya.

Dalam pada itu, berhubung pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF) di lebuh raya, Nanta Linggi memaklumkan, kesemua 32 buah syarikat konsesi serta pemegang taruh pemain industri lebuh raya bertol di Malaysia dipanggil hari ini bagi mendapatkan maklum balas secara terus berkaitan pelaksanaan.

“Secara keseluruhannya, kesemua pemain industri menyambut baik pelaksanaan MLFF ini dan beberapa perkara terkait sistem ini sedang diperhalusi bagi memastikan penyampaian servis terbaik kepada pengguna,” katanya. – Malaysiapost

Komen