MP Alor Setar tegur kerajaan adab berkunjung ke ‘rumah orang’

MP Alor Setar tegur kerajaan adab berkunjung ke ‘rumah orang’

AHLI Parlimen Alor Setar, Afnan Hamami Taib Azamudden menegur kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai adab berkunjung ke ‘rumah orang’.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan perlu meraikan tuan rumah tidak kira mereka di blok kerajaan atau pembangkang dalam mana-mana program rasmi di negeri pembangkang.

“Masuk rumah orang, tak jumpa tuan rumah, duduk ikut suka, masuk dapur guna beras orang, tidur bilik orang, tidur di katil orang sesuka hati,” katanya dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Afnan Hamami turut kesal sikap kerajaan Perpaduan yang meminggirkan pemimpin kerajaan negeri Kedah ketika mengadakan program rasmi di negeri itu

“Seperti yang berlaku di Kedah, Menteri Besar, Ahli Parlimen dan Adun pembangkang langsung tidak dijemput menghadiri program rasmi di tempat sendiri.

“Biarlah beradab dan profesional ketika menziarahi tempat orang. Barulah selaras dengan semangat federalisme, menjunjung adab dan prinsip madani yang diperjuangkan oleh Kerajaan Persekutuan,” kata wakil rakyat dari PAS itu. – Malaysiapost

Komen