Nama bekas mufti, pengasas DAP hiasi nama jalan di Seremban
DUA jalan utama di Seremban ditukar nama kepada nama tokoh oleh Kerajaan Negeri Sembilan, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, Jalan Sikamat ditukar menjadi Jalan Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad, iaitu bekas Mufti Negeri Sembilan.
Jalan Temiang ditukar menjadi Jalan Dr Chen Man Hin, pengasas yang kemudian pengerusi dan penasihat seumur hidup DAP ketika hayatnya.
“Mendiang Dr Chen Man Hin adalah tokoh politik terkenal, manakala Allahyarham Sheikh Mohd Murtadza adalah bekas Mufti Negeri Sembilan.
“Mesyuarat Exco bersetuju menukar nama kedua-dua jalan itu kepada nama tokoh berkenaan,” katanya kepada media, di Seremban, hari ini.
Sementara itu, Aminuddin menyokong penuh kesepakatan dicapai Kerajaan Perpaduan yang menetapkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan saling bersaing pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi PH Negeri Sembilan itu berkata, kesepakatan akan menunjukkan bahawa gabungan PH dan BN juga tidak akan bersaing dalam PRN di Negeri Sembilan yang perlu diadakan sekitar Julai tahun ini.
“Kita (Negeri Sembilan) sokong kesepakatan yang dicapai dalam mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan yang pertama yang dihadiri pemimpin PH dan BN di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Melalui kesepakatan itu, parti gabungan dalam PH dan BN tidak akan bersaing sesama sendiri pada PRN nanti. Keputusan yang dibuat ini adalah tepat untuk kebaikan bersama,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan telah mencapai kesepakatan untuk tidak saling bersaing dalam PRN di enam negeri.
Katanya, PH akan menghadapi pilihan raya negeri dengan semangat kerjasama antara gabungan berkenaan.
Pada masa sama Aminuddin menegaskan, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Loke bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara berkenaan.
“Saya akan bincang dengan Anthony Loke dalam masa terdekat, termasuk berkaitan pembahagian kerusi antara parti gabungan sebagai persiapan menghadapi PRN nanti.
“Perkara ini (kesepakatan) baru permulaan dan seterusnya pelbagai perkara lain berkaitan PRN akan dibincangkan kemudian,” katanya. – Malaysiapost