Onn Hafiz sahkan tak rebut jawatan pusat, tawar diri tanding Ketua Umno Simpang Renggam

Onn Hafiz sahkan tak rebut jawatan pusat, tawar diri tanding Ketua Umno Simpang Renggam

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan parti di peringkat pusat dalam pemilihan Umno bulan depan.

Bagaimanapun, Onn Hafiz berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam.

“Kita sedia maklum bahawa sekarang ini adalah musim pemilihan parti Umno. Saya telah berdoa meminta petunjuk, ilham dan hidayah daripada Allah SWT.

“Saya juga telah berusaha mendapatkan pandangan pelbagai pihak, termasuk ahli keluarga, sahabat, pemimpin, jentera akar umbi terutamanya di Bahagian Simpang Renggam tentang jawatan yang sesuai untuk saya menawarkan diri pada pemilihan penggal ini.

“Oleh itu, saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan di peringkat Pusat tetapi dengan rasa penuh rendah diri ingin menawarkan diri untuk jawatan Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam bagi pemilihan penggal ini,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Onn Hafiz berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pentadbiran di peringkat negeri.

“Saya telah membuat keputusan untuk terus memberi fokus khidmat bakti kepada negeri Johor dan InsyaAllah akan terus berusaha untuk mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan negeri Johor.

“Saya akan memberi fokus terhadap pentadbiran dan pembangunan di kawasan saya dan seluruh negeri Johor.

“Semoga keputusan ini diredai dan dirahmati Allah SWT. Saya merayu dan memohon sokongan daripada perwakilan Umno Simpang Renggam,” katanya.

Terdahulu, ramai pihak mencadangkan Onn Hafiz yang juga penyandang jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno bagi mengembalikan semula maruah parti itu.

Sebagai cicit kepada pengasas parti keramat orang Melayu itu, Onn Hafiz didakwa bukan asing selepas mula terlibat secara langsung dalam Umno pada 2013.

Justeru, dengan pengumuman berkenaan, Onn Hafiz bakal menentang penyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah yang telah menerajui bahagian tersebut sejak 2018. – Malaysiapost

Komen