PM puji kecekapan pasukan penyelamat Malaysia di Turkiye
DATUK Seri Anwar Ibrahim memuji dan melahirkan rasa bangga atas kecekapan dan tahap profesionalisme pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi, Gaziantep.
Perdana Menteri berkata, pasukan SAR terdiri daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan yang luar biasa.
“Pertemuan itu juga penuh dengan perkongsian pengalaman sewaktu operasi mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar juga sempat menitipkan pesanan kepada pasukan keselamatan agar terus komited mencurahkan bakti serta menjaga keselamatan sewaktu bertugas menjalankan operasi.
“Sebelum berangkat ke Ankara bagi menemui rakan sejawat saya, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, saya sempat menitipkan pesanan kepada pasukan kita agar terus komited mencurahkan bakti serta mesti menjaga keselamatan sewaktu penugasan dan pengoperasian,” katanya.
Perdana Menteri selamat tiba di Gaziantep, Turkiye pada pukul 7.50 pagi waktu tempatan dan terus bergerak ke kawasan yang dilanda bencana gempa bumi.

Anwar ke Turkiye bagi menyatakan sokongan moral kepada Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas hingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.
Lawatan turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Amrizan Mohd Ali. – Malaysiapost