Polis tahan 28 individu terbabit parti liar

Polis tahan 28 individu terbabit parti liar

POLIS menahan 28 individu yang terbabit dalam ‘parti liar’ di sebuah banglo di Genting Highlands, Bentong pada Isnin lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata serbuan dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 4 petang atas maklumat orang awam.

Menurutnya, serbuan dan pemeriksaan mendapati seramai 19 lelaki serta sembilan wanita berusia 26 hingga 48 tahun ditahan untuk siasatan.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan ujian awal saringan air kencing ke atas kesemua suspek yang berkumpul di ruang tamu banglo tersebut didapati positif dadah jenis ‘ketamine’ dan ‘amphetamine’.

“Kesemua suspek ditahan reman bermula 14 hingga 15 Februari 2023 untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramli turut memberi amaran keras bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani isu jenayah mahupun dadah yang berlaku di bawah pentadbiran kontinjen Pahang.

“Kejayaan ini adalah hasil maklumat orang awam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa peka terhadap pelakuan jenayah mahupun dadah.

“PDRM menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis terutamanya yang membabitkan aktiviti dadah, jenayah dan lain-lainnya,” katanya. – Malaysiapost

Komen